B16103007

KUCHING –Syarikat Bumiputera  Sarawak diharap terus berkembang dalam sektor hartanah yang berimpak tinggi di negeri ini.

Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri akan terus membantu golongan Usahawan dalam mengembangkan kapasiti perniagaan mereka menerusi insentif kewangan yan disediakan.

Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan, Datuk Haji Mohd Naroden Majais berkata bantuan diberikan sebagai pemangkin pelaburan oleh syarikat terlibat.

Menurutnya dengan cara ini, sekali gus membantu proses meningkatkan dan mengembangkan perniagaan syarikat terutama dalam sektor hartanah.

Kita mahu lihat lebih ramai Usahawan syarikat Bumiputera dalam sektor hartanah berimpak tinggi berkembang. Katanya ketika berucap merasmikan Taman Zoriah Fasa 1 serta perlancaran Taman Zoriah Fasa 2 di Jalan Matang.

Naroden  berkata menerusi program Dana Mudahcara oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), bantuan kewangan sebanyak 10 peratus atau 15 peratus dari keseluruhan kos yang layak diberikan.

Menurut beliau, TERAJU memperuntukkan sebanyak RM 200 juta kepada syarikat Bumiputera Sarawak untuk mengembangkan perniagaan.

Naroden mendedahkan, peruntukan itu masih berbaki RM 70 juta setakat ini dan peruntukan baharu berjumlah RM 100 juta akan disalurkan pada tahun depan.

Sejak ia (TERAJU) ditubuhkan di Sarawak pada 2012, sebanyak RM 128 juta telah diluluskan kepada 45 syarikat Bumiputera Sarawak dengan kos projek berjumlah RM 940 juta.

Hasil insentif Dana Mudahcara itu, syarikat-syarikat Bumiputera Sarawak telah menyediakan lebih 1,700 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Naroden yang hadir pada masjlis pelancaran Taman Zoriah di Jalan Matang semalam sempat meninjau rumah teres dua tingkat yang dibangunkan Syarikat Nursinar Development Sdn Bhd.

Menurutnya syarikat pemaju tersebut juga mendapat bantuan Dana Mudahcara sebanyak RM 1.2juta bagi meringankan beban kewangan mereka.

Hadir sama ialah Pengerusi Nursinar Development Sdn Bhd, Datu Haji Abang Helmi Tan Sri Ikhwan.