KUCHING: Kerajaan diharap dapat mempertimbang untuk melanjutkan bantuan-bantuan kepada peniaga Bumiputera selepas pakej-pakej bantuan diperkenalkan membantu golongan berkenaan mengurangkan impak negatif pandemik COVID-19 bakal berakhir September tahun ini.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Ikhwan (gambar) berkata ini kerana dijangkakan suasana ekonomi yang lembap mungkin berpanjangan.

Beliau berkata ia disebabkan keadaan buruk masih diramal berlaku dalam sektor luar negara sama ada dari segi membendung pandemik COVID-19 mahupun ekonomi.

Menurutnya Malaysia termasuk Sarawak banyak bergantung kepada perdagangan luar menyebabkan kesan dari luar negara tidak dapat dielakkan.

"Jika keadaan ekonomi yang lembap ini berterusan seperti dijangka, kita (DUBS) bimbang ramai perniagaan Bumiputera akan terjejas lagi sehingga ramai mereka mungkin terpaksa gulung tikar.

"DUBS telah mengadakan tinjauan terhad dalam kalangan ahli dan sehingga hujung Jun (2020) tidak lebih 30 peratus responden menerima manfaat kerajaan atas sebab-sebab tertentu.

"Amat mengecewakan, Bantuan Kemudahan Khas daripada bank yang mana hanya 3.3 peratus responden dalam tinjauan ini telah mendapat kelulusan," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Abang Helmi yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Nasional berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang lebih komprehensif termasuk Skim Subsidi Upah, Skim Kredit Mikro, moratorium pinjaman bank dan pakej tambahan di bawah Pelan tambahan di bawah Pelan Penjana Semula Ekonomi seperti Pembiayaan Kredit PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan PKS Mikro dan pembiayaan modal pusingan untuk kontraktor-kontraktor.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperkenalkan beberapa inisiatif yang membantu keadaan. 

"Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan banyak tender kerja pembinaan bagi projek berskala besar dan banyak lagi projek kecil untuk kontraktor Bumiputera selain menyediakan bantuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1 dan BKSS 2 yang membantu meringankan beban peniaga," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, beberapa isu dibangkit dan dibawa DUBS kepada pengetahuan kerajaan untuk dipertimbangkan.

Mengenai perkembangan perniagaan pasca COVID-19 di Sarawak terutama melibatkan PKS Bumiputera, Abang Helmi berkata perniagaan dibuka semula Jun lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara pada 18 Mac 2020 menampakkan pemulihan dalam beberapa sektor PKS.

Namun katanya ini hanya tanda-tanda awal yang diharap berterusan selepas ini sehingg ke tahap yang lebih baik.

"Kita boleh menyaksikan juga keadaan sektor perniagaan yang masih sederhana. Tinjauan dilakukan DUBS semalam (Ahad) di beberapa tempat di sekitar bandar raya Kuching, menunjukkan restoran-restoran masih agak lengang dan perniagaan kedai runcit terutama dalam pusat membeli belah juga sama.

"Perniagaan di lapangan terbang juga lengang, baik di Kuching mahupun di Kuala Lumpur, kerana sektor penerbangan dan pelancongan yang amat teruk sekali terkesan oleh wabak COVID-19," katanya.

Menurut beliau setakat ini, hanya AirAsia sahaja yang hampir pulih kekerapan penerbangannya, sementara Malaysia Airlines dan Malindo Air masih  terhad. 

Bilangan penumpang juga katanya masih rendah akibat kekangan prosedur pengendalian standard (SOP) yang dikenakan. 

Keadaan itu menyebabkan semua perniagaan dalam sektor pelancongan termasuk hotel, restoran, pengangkutan dan pusat pelancongan amat terkesan sekali.

"Data yang dapat saya akses menunjukkan suasana perniagaan dan kadar kehilangan pekerjaan masih lagi dapat dibendung setakat ini, kerana pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan sejak April lalu.

"Pakej rangsangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keadaan dalam masa ekonomi ditutup selama hampir tiga bulan. Keadaan selepas ini bergantung kepada suasana yang diharap boleh membantu pemulihan perniagaan di sector PKS," katanya.

Beliau menambah, pertama wabak COVID-19 perlu dikawal supaya kes baru tidak bertambah di luar kawalan selain itu SOP perlu diteliti supaya tidak terlalu ketat dan mengekang pemulihan perniagaan.

"Diakui faktor-faktor ini, dua pilihan yang amat sukar dalam keadaan krisis pandemik ini," katanya.