KUCHING: Peralihan Sarawak ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan berita baik dan kelegaan yang telah sekian lama dinantikan oleh usahawan-usahawan Bumiputera khasnya.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datu Abang Helmi Ikhwan berkata peniagaan usahawan Bumiputera telah melalui tempoh sukar semasa pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu (PKP), perniagaan ahlinya berjalan perlahan dengan ketara sekali malah ada yang tidak dibenarkan beroperasi untuk kebaikan atau di ambang kehancuran.

Justeru ujarnya, kini DUBS perlu melakukan kaji selidik komprehensif bagi mengetahui sejauh mana perniagaan Bumiputera terjejas ekoran pelaksanaan PKP bagi membendung COVID-19 di seluruh negara.

"Kami mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) itu, Sarawak akan beralih ke Fasa 3 PPN.

"Kita berasa lega dan gembira kerana di bawah Fasa 3 ini, semua aktiviti perniagaan kecuali yang disenaraikan di bawah aktiviti negatif kini dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja sehingga 100 peratus bagi yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

"Selain itu, restoran dan kedai makan dibenarkan menawarkan perkhidmatan 'dine-in', tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kejayaan Sarawak beralih ke Fasa 3 PPN berkuat kuasa pada 4 Ogos 2021.

Helmi berkata dengan persekitaran baharu bermula esok, DUBS mahu merayu kepada kerajaan memastikan SOP-SOP berkaitan akan dipermudahkan agar ia mudah dipatuhi sekali gus mempercepatkan pembukaan semua sektor perniagaan.

"Kita (Sarawak) sudah pun mencapai tahap vaksinasi yang tinggi, justeru fokus sekarang harus kepada pemulihan perniagaan dan ekonomi dengan memansuhkan sebahagian besar SOP-SOP 'luar biasa' ketat.

"DUBS juga mahu mengingatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri memberi geran kewangan langsung yang sesuai untuk perniagaan kecil dan miko Bumiputera bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan atau pulih dengan cepat dan kembali ke tahap sama seperti sebelum PKP," ujarnya.

Selain itu, beliau berharap semua jabatan dan agensi kerajaan kembali beroperasi sepenuhnya bagi membolehkan kontrak-kontrak kerajaan serta perkhidmatan kepada kontraktor Bumiputera dapat dipercepatkan.

"Kita mendapatkan rata-rata jabatan dan agensi kerajaan bergerak 'seperti siput' semasa pelaksanaan PKP kerana ada yang perlu bekerja dari rumah dan kapasiti pejabat hanya 50 peratus," tambahnya.

Pada Isnin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam hantaran Facebooknya memaklumkan Sarawak antara tiga negeri yang akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 4 Ogos 2021,

Beliau berkata keputusan itu diambil semasa Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya di Putrajaya pada hari sama.

Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN pada 14 Julai lalu selepas MKN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN.


ahli

Keahlian

Anda boleh memohon secara online.

foto

Galeri Foto

Layari koleksi foto aktiviti DUBS.

video

Galeri Video

Himpunan video-video DUBS.

download

Download

Muat turun dokumen berkaitan.