9 Nov 2024– Dewanita DUBS Pusat telah menganjurkan Program Lawatan Muhibbah ke Kampung Belimbing,bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pihak penganjur dan masyarakat setempat, serta memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Dalam program ini, sumbangan berupa wang tunai dan pakaian terpakai telah diserahkan oleh Ketua Dewanita DUBS Pusat, Puan Hajah Juita Drap dan rombongan kepada Tuan Mahathir Ahmad Zaidi, Pengerusi Masjid Darul Islam Kampung Belimbing, Padawan, bersama Puan Kamariah Bt Jamel. Sumbangan ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penduduk kampung dan membantu mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Selain daripada sumbangan, program ini juga menyaksikan aktiviti demonstrasi membuat keringkam dan pembuatan kuih jala yang dikendalikan oleh usahawan wanita Kampung Belimbing. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk belajar kemahiran baru, tetapi juga mempromosikan produk tempatan yang dihasilkan oleh usahawan wanita di kampung tersebut.
Melalui program seperti ini, hubungan antara penganjur dan masyarakat setempat dapat diperkukuhkan, sambil menyokong usaha keusahawanan di kalangan wanita.